Bagaimana pelajar perempuan yang rata-ratanya mempunyai pencapaian
pelajaran lebih baik berbanding lelaki, termasuk mahasiswa institusi pengajian
tinggi, boleh terjebak dengan masalah sosial terutama isu seks sehingga
mengandung dan melahirkan anak luar nikah?
Jawapannya mudah. Pencapaian remaja perempuan di negara kita sebenarnya
ketinggalan dalam hubungan sosial dan pengetahuan mengenai tubuh badan;
terutama membabitkan isu seks, kedaraan, kitaran haid dan kehamilan.
Malah ada yang tidak tahu mengapa seseorang wanita mengeluarkan darah
ketika haid, di mana letaknya selaput dara, berapa bukaan (lubang) yang ada di
kawasan sulit dan sama ada seseorang wanita boleh hamil tanpa melakukan
hubungan seks.
Ini adalah hasil penemuan beberapa kajian dilakukan Lembaga Penduduk dan
Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta KotexBody Life IQ. Yang lebih
membimbangkan ialah remaja perempuan menjadikan seks untuk membuktikan cinta
kepada pasangan mereka.
Ramai tidak tahu, persepsi atau impian cinta remaja perempuan tidak sama
dengan remaja lelaki. Remaja perempuan menganggap teman lelaki sebagai bakal
suami dan anggapan ini membuatkan mereka sanggup menyerahkan jiwa dan raga;
sedangkan pada remaja lelaki, cinta ketika usia muda adalah untuk mencuba,
mencari pengalaman seks atau menyahut cabaran rakan.
Ada tiga jawapan diberi remaja lelaki (pelajar sekolah menengah) dalam
kaji selidik dijalankan LPPKN mengenai reaksi mereka jika teman wanita hamil
iaitu:
* Menuduh teman wanita curang (melakukan hubungan seks dengan lelaki
lain. Ini kerana jika perempuan itu mudah diajak untuk bersama, tidak mustahil
dia juga boleh melakukannya dengan orang lain)
* Melarikan diri
* Sanggup membunuh teman wanita bagi menghapuskan bukti
Tidak ada seorang pun daripada responden dalam soal selidik berkenaan
sanggup bertanggungjawab dengan mengahwini teman wanita mereka atas pelbagai
faktor seperti tidak bersedia, umur terlalu muda, belum habis sekolah dan
tidak mempunyai pekerjaan.
Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-4 LPPKN (2004) mendapati 2.2
peratus golongan muda berumur antara 13 hingga 24 tahun (kira-kira 132,000
orang) pernah melakukan hubungan seks luar nikah.
Kajian di Negeri Sembilan (2006) mendapati 5.4 peratus remaja melakukan
hubungan seks buat pertama kali pada umur 15 tahun manakala kajian media LPPKN
pada 1998 mendapati 27.2 peratus golongan muda mengadakan hubungan seks pertama
ketika berusia 16 tahun dan umur paling muda pernah direkodkan ialah sembilan
tahun.
Berdasarkan rekod klinik dan hospital kerajaan yang dikaji, 19 peratus
kes hamil luar nikah membabitkan remaja di bawah 18 tahun dan lebih menyedihkan,
65 peratus daripada mereka adalah remaja Melayu.
Soal selidik seksualiti ke atas 1,303 remaja berusia 15 hingga 24 tahun
mendapati lebih ramai remaja mula berpacaran pada usia awal (15 hingga 18
tahun) berbanding mereka yang tamat sekolah (18 hingga 20 tahun). Ketika
bertemu janji, 65 peratus remaja di Semenanjung menganggap berpegang tangan
adalah perkara biasa; 26.2 peratus pernah bercium dan 16.6 peratus pula pernah
meraba-raba.
Itu belum masuk kes mengandung anak luar nikah, pembuangan bayi,
pengguguran tidak selamat sehingga boleh mengancam nyawa atau mati ketika
bersalin sendirian seperti pernah terjadi pada bekas pelajar pusat pengajian
tinggi.
Bagaimana pula dengan kesan psikologi yang dialami remaja perempuan ini
selepas melakukan satu demi satu kesilapan yang menjadi titik hitam dalam hidup
mereka?
Ada ibu bapa bertanya, bagaimana anak yang dididik dengan baik dan
dibekalkan ilmu agama sejak kecil boleh terjerumus dengan masalah ini pada usia
muda?
Antara faktor dikenal pasti menjadi penentu kepada aktiviti seksual
remaja ialah:
* Umur (biasanya berlaku pada akhir remaja) - Timbulnya keinginan untuk
mencuba
* Status sosio ekonomi - Biasanya lebih banyak masalah dilaporkan di
kalangan remaja daripada keluarga berpendapatan rendah
* Kurang pendidikan agama
* Kurang kawalan ibu bapa
* Pencapaian akademik yang rendah
* Tingkah laku ketika bertemu janji (jika banyak sentuhan fizikal, lebih
tinggi kecenderungan melakukan hubungan seks)
* Ciri-ciri keluarga (latar belakang keluarga, sokongan dan kawalan ibu
bapa)
* Pengaruh rakan sebaya
* Etnik (bangsa)
Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Harlina Halizah Siraj,
isu seksual membabitkan remaja kini semakin membimbangkan, terutama pada remaja
perempuan, kerana setiap perlakuan seks bebas memberi kesan langsung kepada
mereka.
"Antara punca masalah kesihatan reproduksi atau seksual remaja
ialah kurang pengetahuan agama dan moral; keruntuhan institusi keluarga; gaya
hidup materialistik (mementingkan kebendaan); pengaruh rakan sebaya dan media.
"Ini akan membawa mereka terbabit dalam masalah pergaulan bebas,
seks luar nikah, seks rambang (dengan banyak pasangan) dan penagihan dadah dan
alkohol.
"Akibatnya berlaku masalah lebih besar seperti kehamilan yang tidak
dirancang, pengguguran tidak selamat, pembuangan bayi (sama ada dengan niat
untuk diselamatkan atau mahu dibunuh), jangkitan penyakit kelamin dan virus
HIV, keganasan seksual dan eksploitasi seksual (dipaksa menjadi pelacur atau
dipergunakan untuk kepentingan lain).
Sikap terhadap seksualiti
"REMAJA adalah masa di mana seseorang paling bertenaga tetapi
tenaga ini digunakan ke arah tidak sepatutnya. Ibu bapa perlu faham, remaja
adalah zaman peralihan daripada kanak-kanak kepada dewasa. Semua proses yang
berlaku ketika peralihan zaman ini memberi kesan kepada perkembangan psikologi
mereka.
"Ketika inilah mereka memerlukan panduan supaya tidak terpengaruh
dengan anasir tidak baik, terutama isu hubungan sosial dan seks.
"Malangnya, ramai ibu bapa melenting apabila kita mencadangkan
pelbagai program untuk memperkasakan remaja dalam ilmu berkaitan hubungan
sosial dan seks. Mereka bukan golongan bermasalah tetapi mengalami
kesukaran," katanya.
Pelbagai cadangan diutarakan seperti menyediakan rumah perlindungan
untuk remaja perempuan terlanjur, klinik khas untuk remaja, membabitkan remaja
dalam pelbagai program sokongan (untuk remaja) dan memberi pendidikan seks di
sekolah; semuanya mendapat bantahan pelbagai pihak yang beranggapan ia akan
merancakkan lagi aktiviti seks di kalangan golongan muda kerana ada kemudahan
dan diberi pendedahan awal mengenainya.
Menurut Dr Harlina yang juga Naib Presiden Jemaah Islah Malaysia, sama
ada kita suka atau tidak, kita kena terima hakikat semakin ramai remaja
melakukan hubungan seks pada usia muda, malah ketika bersekolah lagi.
Bahkan ibu bapa sepatutnya memikul tanggungjawab memberi pendidikan seks
kepada anak sejak kecil secara berperingkat sesuai dengan umur mereka.
Kajian menunjukkan 'seks' adalah perkataan paling banyak dicari di Internet.
Ini menandakan remaja bukan saja mempunyai keinginan tinggi untuk mengetahui
mengenainya, malah lebih selesa mendapatkan maklumat mengenai seks dan hubungan
sosial daripada Internet atau rakan sebaya berbanding ibu bapa.
Ramai tidak faham mengenai seksualiti. Ia bukan hanya mengenai hubungan
seks atau kelamin, tetapi aspek penting dalam kehidupan manusia yang merangkumi
dimensi biologi (fizikal atau tubuh badan), emosi (perasaan sayang, cinta dan
hormat), akal (organ seks yang paling penting), sosial (interaksi antara sesama
dan berlainan jantina) serta spiritual (memberi makna kepada diri sendiri).
Satu perkara yang tidak kurang pentingnya ialah sikap kita sendiri
terhadap seksualiti. Adakah kita bersikap:
* Liberal (bebas dan terbuka) - menganggap seks sebagai ekspresi diri
dan tidak boleh ada kekangan dalam ekspresi).
* Seimbang - Seks adalah komponen penting dalam kehidupan tetapi ia
perlu diatur dan ditangani dengan baik.
* Konservatif - Memandang seks sebagai kerendahan moral dan seseorang
itu dianggap mulia jika mampu mengekang nafsu seksnya.
Mungkin juga pelbagai masalah hari ini disebabkan golongan muda lebih
bersikap liberal terhadap hubungan sosial dan seksual.
Hasil kajian diketuai Prof Dr Mazlin Mokhtar dari Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) pada 2006 ke atas sikap belia institusi pengajian tinggi (18
hingga 25 tahun) terhadap seksualiti juga mengejutkan. Lebih 50 peratus
responden menganggap tidak mengapa untuk remaja perempuan dan lelaki berciuman,
berpelukan dan menyentuh satu sama lain dan 25 peratus berpendapat tidak salah
untuk melakukan hubungan seks jika pasangan remaja saling bercinta!
Itu pada golongan muda. Pada ibu bapa, keadaan sedikit berbeza. Ibu bapa
sekarang terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu yang hidup moden tetapi sangat
konservatif dalam isu hubungan sosial dan seks sehingga ia tidak boleh
dibincangkan langsung.
"Kumpulan kedua pula konservatif dan sangat alim tetapi dalam bab
hubungan sosial mereka bersikap liberal atau terbuka pula. Contohnya seorang
ibu pernah meluahkan rasa 'lega' selepas anaknya bertunang. Jika sebelum ini
dia sentiasa risau apabila anak daranya terpaksa menaiki kenderaan awam untuk
pergi kerja, tetapi kini hati tenang kerana kini anaknya pergi dan balik kerja
bersama tunang.
"Salah tanggapan ini tebal dalam masyarakat kita. Ramai ibu bapa
menganggap tidak mengapa anak dara keluar berdua-duaan bersama tunang;
sedangkan hukum Islam terang-terang mengatakan ia tidak boleh.
"Ikatan pertunangan tidak menghalalkan hubungan dan apabila sering
berdua-duaan, peluang melakukan seks (zina) terbuka luas. Cara terbaik ialah
menyegerakan perkahwinan.
"Islam mengharamkan zina (seks luar nikah) tetapi sangat
menggalakkan perkahwinan. Selain itu kita perlu mencari pendekatan untuk
membendung perkara ini," kata Dr Harlina.
Antara pendekatan dicadangkan untuk menangani isu seksual remaja ialah
memberi pendidikan seks di sekolah. Namun cadangan ini mendapat bantahan
pelbagai pihak yang menganggap ia boleh menjadi pemangkin kepada masalah
berkenaan dan menjadikannya lebih buruk.
"Memberi pendidikan seks bukan bermakna mengajar bagaimana aktiviti
seksual itu dilakukan, tetapi lebih menjurus kepada memperkasakan remaja supaya
mereka mengenal dan menghargai diri sendiri; apa yang boleh dan tidak boleh
dilakukan pada kita dan risiko hubungan seks rambang.
"Ini penting, terutama pada remaja perempuan, supaya mereka ada
kemampuan menahan diri supaya tidak mengandung pada usia yang sangat muda dan
hanya mengadakan hubungan seks apabila tiba masa sesuai.
"Di kalangan remaja bukan Islam di luar negara, mereka yang
mempunyai ilmu akan melengahkan hubungan seks pertama sehingga berumur 17 atau
18 tahun. Pada masa sama mereka juga mengamalkan seks selamat; jadi jumlah
kehamilan yang tidak dikehendaki agak rendah," katanya.
Tugas ibu bapa
RAMAI ibu bapa kini sedar kepentingan pendidikan seks, tetapi tidak tahu
bila dan bagaimana hendak memulakannya. Bila pendidikan seks perlu dimulakan?
Apabila anak mula bertanya soalan yang ada unsur seks (termasuk mengenai
organ seks mereka) dan biasanya ketika berumur tiga atau empat tahun.
"Memang remaja akan bertanya tetapi disebabkan ibu bapa tidak
bersikap terbuka dan memarahi anak apabila bertanya soalan berkaitan seks,
mereka akan mencari jawapan dari rakan sebaya atau Internet.
"Berikan jawapan ringkas yang sesuai dengan umur mereka. Pada umur
ini antara soalan yang biasa ditanya ialah bagaimana bayi boleh ada dalam perut
dan bagaimana ia dikeluarkan?
"Anda boleh beri jawapan ringkas, dengan mengatakan Tuhan
menciptakan bayi dan ia keluar melalui vagina (tempat kita buang air kecil)
dengan bantuan doktor di hospital.
"Dalam tempoh berpantang anda akan berasa sakit dan perlukan banyak
rehat, tetapi ia bukan masalah kerana anda dapat meluangkan banyak masa
bersamanya. Jawapan seperti ini sudah cukup untuk kanak-kanak.
"Katakan juga padanya, jika dia ada soalan lain ajukan pada anda
atau suami. Untuk anak lebih besar, jika anak lelaki, suamilah yang perlu
menjawab soalan berkaitan seks dan sebaliknya. Bagaimanapun, anda perlu menyiapkan
diri dengan ilmu mengenai seksual," katanya.
Ramai tidak sedar bahawa remaja masih memerlukan kata pujian dan
penghargaan daripada ibu bapa. Kebanyakan ibu bapa hanya memberi pujian seperti
'pandai', 'baik', 'cantik' dan 'rajin' ketika anak kecil dan berhenti
mengucapkan kata-kata manis ini apabila anak memasuki umur remaja.
"Anak perempuan terutamanya sangat memerlukan perhatian,
penghargaan dan kasih sayang ayah. Anak akan tertanya adakah dia cantik, nampak
menarik dan disayangi, malangnya penghargaan daripada ayah tidak pernah datang.
"Jiwa mereka kosong dan dahaga kasih sayang; jadi akan mudah
tertarik pada lelaki lain yang kata mereka cantik atau 'saya sayang awak'.
"Tidak hairan jika ramai remaja perempuan kita lari ikut lelaki
Lombok yang tidak kedekut dengan kata-kata manis. Mereka mengisi kekosongan
yang ditinggalkan oleh bapa remaja itu.
"Namun apabila perkara ini terjadi, kita menyalahkan lelaki Lombok
dan bukan cuba menyelidik punca sebenar mengapa anak gadis sanggup lari
walaupun tahu mereka bakal menempuh pelbagai kesusahan," katanya.
Jadi dalam isu ini, remaja perlu diperkasakan dengan empat perkara iaitu
menghargai tubuh badan sendiri; bertanggungjawab dengan keputusan dan apa yang
mereka lakukan (kerana ramai remaja menyalahkan orang lain atas kesalahan
mereka); berkomunikasi dengan berbudi bahasa, tegas dan berkesan serta
melahirkan kasih sayang dan keintiman bersesuaian dengan umur mereka.
Bagi ibu bapa pula, mereka mestilah mempunyai sikap betul terhadap isu
seksualiti; melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai seksualiti dan tahu
cara terbaik untuk menyampaikannya kepada anak; ada kemahiran untuk bertindak
sewajarnya dan boleh berbincang secara terbuka mengenai isu seks - sesuai
dengan umur si kecil.
Jangan disebabkan kekurangan ilmu dan sikap kurang terbuka kita
membuatkan anak menjadi mangsa. Kita bertanggungjawab mengikis kemiskinan
kemahiran dan pengetahuan ilmu hubungan sosial dan seks anak remaja supaya
mereka tidak mudah 'cair' dengan kata-kata manis lelaki hidung belang yang cuba
mengambil kesempatan.
Sentiasa ingatkan anak perempuan, jika teman lelaki meminta untuk
'mencuba' walaupun sekadar 'ringan-ringan', itu bermakna cinta mereka tidak
ikhlas dan cuba mengambil kesempatan kerana lelaki baik akan melindungi dan
menjaga kehormatan si perempuan serta sanggup menunggu sehingga hari
diijabkabulkan.
Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin
………………………………………………………………………………………………….
Assalamualaikum :)
ReplyDeleteNice blog . Follow me back okayy .
Wa'alaikumsalam,... thanks lot, kamsahamnida,..... okay, I will....
ReplyDelete